KEMPEN ANTI-MEROKOK SUATU REALITI ATAU MITOS



OLEH : MOHD HANAFI BIN JUMRAH


“Merokok merbahayakan kesihatan” begitulah slogan yang tertera pada kotak-kotak rokok di Malaysia. Secara umumnya, rokok adalah berbentuk silinder yang diperbuat daripada kertas mempunyai ukuran panjang antara 70 hingga 120 mm dengan ukuran diameter sekitar 10 mm yang mengandungi daun tembakau yang telah dicacah. Merokok ialah membakar pada salah satu hujung rokok dan membiarkan ia membara agar asapnya dapat dihirup melalui mulut pada hujung yang lain. Tabiat merokok merupakan penyakit global yang menular ibarat nanah yang semakin membusuk di negara kita, dengan implikasi yang amat serius bukan sahaja ke atas kesihatan perokok, sistem kesihatan sesebuah negara dan kesejahteraan ekonomi. Kajian yang telah dijalankan oleh pihak Universiti Putra Malaysia (UPM) ke atas 18,000 orang pada tahun lepas mendapati perokok yang berusia 15 tahun sebanyak 21 peratus, 16 tahun sebanyak 32.2 peratus, 17 tahun sebanyak 35.6 peratus, 18 tahun sebanyak 45.5 peratus, 19 tahun sebanyak 51.4 peratus, 20 tahun sebanyak 49.2 peratus dan 54 peratus merupakan perokok dewasa.

Namun apa yang menyedihkan lagi, seramai 10, 000 orang maut setiap tahun akibat daripada penggunaan rokok. Rokok yang mengandungi 4,000 bahan kimia termasuk tar (bahan membuat jalan raya), nikotina, ammonia (bahan pencuci lantai), arsenik (racun anai-anai), dan karbon monoksida (gas beracun). Rokok yang berpunca daripada tembakau boleh menyebabkan seseorang yang merokok itu menjadi ketagih. Tembakau merupakan hasil pertanian yang diproses daripada daun tumbuh-tumbuhan genus Nicotiana yang segar. Industri tembakau telah menyumbang sebanyak RM 1.2 billion kepada pendapatan negara melalui pelbagai jenis cukai dan lebih kurang RM 3.6 billion setahun disumbangkan kepada negara hasil daripada cukai rokok. Industri penanaman tembakau bermula pada 1883 di Sabah dengan tanaman tembakau cerut. Kemudian diikuti tembakau jenis virginia di Semenanjuang Malaysia di Ladang Penyelidikan Malaysia di Serdang, Selangor pada 1931. Kemudian pada tahun 1970 penanaman tembakau berkembang pesat di Kelantan, sehingga hari ini meningkat sebanyak 60 peratus pengeluarannya. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (HWO), tembakau menjadi satu daripada penyebab paling utama terhadap kematian di seluruh dunia. Tembakau juga mengandungi sejenis bahan penyebab ketagihan yang dipanggil sebagai nikotin.

Ketua amalan Farmasi, Kuliyah Farmasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr. Mohamad Haniki Nik Mohamed, menyatakan bahawa rokok mengandungi nikotin yang boleh melumpuhkan sistem saraf tengah, menghentikan proses pernafasan dan menyebabkan kematian jika anda mengambil 60 miligram (mg) nikotin sekali gus. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa rokok sebagai ejen yang menghantar secepat dan sebanyak mungkin nikoti di dalam tubuh badan seorang perokok atau pun di dalam tubuh perokok melalui bahan-bahan di dalam rokok. Buletin World Health yang ditaja oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (HWO) edisi bulan Julai-Ogos 1995, melaporkan bahawa nikotin menghasilkan tindak balas kimia dalam badan, yang mana ia sama dengan apa yang dihasilkan oleh heroin dan kokain.

Selain itu, rokok bukan sahaja boleh melumpuhkan sistem saraf tengah, tetapi rokok juga boleh mengurangkan keupayaan seseorang dalam menjalankan aktiviti-aktiviti berat seperti mendaki gunung, seorang perokok akan hilang keupayaan untuk bertahan lama apabila mendaki gunung dari segi pernafasan, ketahanan diri dan tenaga. Hal ini kerana, asap rokok yang dihidu itu akan masuk ke dalam saluran darah, kemudiannya asap itu dihantar ke jantung dan akan menyebabkan jantung tidak dapat mengepam secara normal lalu menyebabkan keupayaan seseorang itu menurun. Timbalan Pengarah, Jabatan Kesihatan Wilayah, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Sallehudin Abu Bakar menyatakan bahawa pada tahun 2000, menunjukkan bahawa 25 peratus yang maut disebabkan barah paru-paru, 25 peratus penyakit jantung koronari, 20 peratus menghidapi strok, 15 peratus COPD (penyakit sekatan pulmonari) kronik dan 15 peratus lagi lain-lain punca.

Kesan merokok atau asap rokok ini juga memberikan risiko yang sama kepada wanita yang mengandung dan juga anak yang dikandung. Pada awal kehamilan, rokok akan memberi kesan yang negatif terhadap janin, yang boleh mengakibatkan kecatatan terhadap anak yang bakal dilahrikan dan merencatkan pertumbuhan janin disebabkan oleh penurunan aliran darah ke dalam plasenta. Ketika mengandung, berat bayi bagi wanita yang merokok berkemungkinan adalah tiga kali lebih rendah berbanding dengan bayi normal dan risiko yang lebih tinggi akan menyebabkan kematian bayi. Kualiti susu badan juga berkurangan daripada biasa akibat daripada aktiviti merokok semasa awal kehamilan. Ibu juga berisiko melahirkan bayi sebelum tempoh matang dan anak yang dilahirkan mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalami sawan. Selain daripada penyakit, tabiat merokok juga boleh memberikan kesan terhadap fizikal manusia. Menurut Sallehuddin dan Norlaila (1998), dari aspek fizikal, tabiat merokok boleh mengakibatkan bau rokok yang kurang menyenangkan kepada pakaian. Warna gigi turut akan berubah daripada warna putih kepada warna kekuningan. Gigi akan menjadi cepat rosak dan mulut akan mengeluarkan nafas yang berbau.

Manusia terawal di dunia yang merokok adalah daripada suku bangsa India di Amerika. Mereka merokok bertujuan untuk memuja dewa atau roh. Pada abad ke-16, bangsa Eropah telah menemukan benua Amerika dan sebahagian daripadanya ialah para penjelajah Eropah dan mereka juga terikut untuk menghisap rokok, kemudiannya membawa tembakau pulang ke Eropah. Selepas itu merokok sudah sinonim dengan kalangan bagsawan Eropah. Berbeza dengan bangsa India yang merokok untuk pemujaan, orang Eropah merokok hanya untuk kesenangan semata-mata. Pada abad ke-17 para pedagang daripada Sepanyol telah membawa masuk rokok ke Turki dan bermula daripada detik itu, ia terus menular ke negara-negara Islam. Sehingga kini isu merokok menjadi semakin meruncing dalam kalangan penduduk di seluruh dunia. Apa yang membimbangkan lagi kebanyakan perokok yang mula merokok seawal di bangku sekolah lagi. Hal ini kerana remaja lebih cenderung mempengaruhi kawannya yang tidak merokok agar sama-sama menikmatinya dan menambah keceriaan serta merapatkan lagi hubungan antara mereka. Menurut Kamarudin (1996) mengatakan bahawa remaja lebih cenderung untuk memilih rakan sebaya dan tingkah laku mereka ditentukan oleh ukuran kelakuan rakan sebaya mereka. Kajian Sufian (2004) juga menyatakan bahawa merokok boleh di dorong oleh desakan rakan sebaya. Remaja biasanya diterima masuk di dalam sesuatu kumpulan sekiranya mereka berani merokok, jika remaja tersebut tidak berani merokok mereka akan dipulaukan dalam kalangan rakan sebaya mereka.

Selain itu, antara sebab-sebab merokok adalah perasaan ingin menonjolkan keegoan diri. Pada kebiasaannya, apabila kaum lelaki sampai disuatu peringkat akan merasakan dirinya mempunyai kekurangan atau tidak sempurna kelakiannya jika tidak merokok. Sekiranya dia tidak merokok dan melihat orang yang berada di sekelilingnya merokok sama ada di sebelahnya atau dihadapannya, ia merasakan bahawa dirinya tercabar dan merasa terlalu kecil ditengah-tengah kaum lelaki yang merokok. Perasaan inilah yang perlu dihapuskan dalam dirinya, lantas mengambil rokok sebagai kesempurnaan keegoannya. Apa yang lebih jelas lagi, apabila mereka berjalan dan dihembuskan pula asap rokok dijalanan, ini menunjukkan bahawa mereka cukup sempurna sebagai seorang dewasa. Mereka merokok di mana-mana sahaja, tanpa menghiraukan papan tanda larangan merokok di premis-premis kerajaan seperti lapangan terbang, hospital, sekolah dan universiti dan denda yang dikenakan.

Sesetengah orang berpendapat bahawa merokok itu merupakan satu keperluan apabila menghadapi sesuatu masaalah. Rokok dianggap sebagai suatu yang dapat meringankan beban kekusutan fikiran yang dialami dan ianya dapat dikurangkan melalui tabiat merokok. Sekiranya fikirannya mula berkecamuk, maka seseorang individu itu akan mengambil rokok sebagai ubat penenang fikiran. Mereka merasakan bahawa dengan tabiat merokok boleh memberi ketenangan dan mengurangkan tekanan. Perokok juga sentiasa mempertahankan bahawa merokok mempunyai keupayaan yang boleh mengurangkan tekanan, ketegangan dan berasa lebih tenteram. Tabiat merokok dianggap sebagai aroma terapi untuk mereka lari daripada segala masalah yang membelengu diri mereka. Keadaan ini yang membawa kepada ketagihan dan masalah kesihatan yang serius.

Walaupun, banyak kesan negatif daripada tabiat merokok tetapi masih ramai lagi perokok yang merokok tanpa mengendahkan seruan kerajaan terhadap amalan gaya hidup yang sihat. Negara-negara ahli Pertubuhan Kesihatan Sedunia (HWO) telah mencipta Hari Dunia Tanpa Tembakau pada 1987. Hari Dunia Tanpa Tembakau ini disambut pada 31 Mei setiap tahun oleh seluruh dunia. Matlamatnya adalah untuk mengurangkan kematian setiap tahun, yang mana sebanyak 3.5 juta setiap tahun dilaporkan berpunca daripada masalah kesihatan yang berkaitan dengan tembakau. Pihak kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai langkah untuk membendung masalah ini antaranya ialah kempen anti-merokok dan cara hidup sihat.

Namun kempen anti-merokok yang telah diilhamkan oleh Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5 telah melancarkan Kempen Anti-Merokok “Tak Nak” pada Februari tahun 2004 lebih memfokus pada remaja yang berumur 13 sehingga 21 tahun. Hal ini kerana, kerajaan sedar bahawa golongan yang tinggi merokok adalah dikalangan remaja. Kempen Anti-Merokok “Tak Nak” ini pada asalnya merupakan cetusan minda bekas Perdana Menteri kita ke-4 iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad, yang bimbang melihat golongan generasi muda yang kian terjebak. Isu berkenaan dengan merokok ini bukanlah satu perkara yang baru di Malaysia. Kempen anti-merokok yang dilaksanakan oleh kerajaan boleh diibaratkan sebagai “mencurah air ke daun keladi” yang diberikan oleh rakyat Malaysia, malahan langkah-langkah yang dilakukan oleh kerajaan dengan meletakkan gambar ngeri pada kotak-kotak rokok seperti tidak memberi kesan dan tidak membawa apa-apa makna ke atas perokok itu sendiri. Tiada perokok yang ngeri dengan melihat gambar-gambar tersebut.

Sikap individu perokok itu sendiri yang tidak mahu berubah dan meninggalkan tabiat merokok. Tabiat merokok sudah sebati dengan kehidupan perokok dan mereka mula ketagih dengan rokok, apabila sehari tidak merokok dia merasakan bahawa hidupnya tidak lengkap. Walaupun, mereka tahu bahawa merokok boleh mendatangkan kesan yang negatif dalam hidup mereka, tetapi mereka tetap mengambil kesan ini dengan remeh dan menganggap bahawa kesemua kesan tersebut adalah dusta selagi kesan itu tidak mengenai diri mereka sendiri. Sikap individu yang keras hati, tidak akan menyahut seruan kerajaan dan menjayakan kempen anti-merokok, mereka akan memberi pelbagai alasan agar mereka tidak berhenti merokok. Mereka juga tidak berasa takut terhadap gambar-gambar yang telah diletakkan di kotak-kotak rokok, malahan mereka membeli kotak rokok khas, kemudian meletakkan rokok yang dibeli ke dalamnya dan bersaing terhadap kotak rokok siapa yang paling cantik. Keputusan hanya terletak di tangan individu itu sendiri, jika mereka mahu menyahut seruan kerajaan iaitu kempen anti-merokok mereka akan lakukan, tetapi jika mereka tidak menghiraukannya mereka tetap akan merokok dan mungkin akan menjadi perokok tegar. Analoginya di sini ialah tangan kanan memegang sebilah `pisau dan tangan kiri memegang mentimun, maka keputusan ditangan kita sama ada mahu memotong mentimun itu dengan cara sendiri atau membiarkannya sahaja.

Selain itu, kurangnya pemantauan daripada ibu dan bapa. Ibu dan bapa haruslah menjadi role model yang terbaik buat anak-anak. Setiap gerak-geri, kata-kata yang keluar daripada ibu dan bapa diperhatikan oleh anak-anak. Sekiranya ibu dan bapa merokok di hadapan anak-anak sedangkan mereka melarang anak-anak tersebut merokok. Maka tidak hairanlah jika anak-anak itu meniru apa yang ibu dan bapa lakukan. Ibu dan bapa yang sibuk mengejar kebendaan tidak akan menghiraukan anak-anak mereka. Hal ini akan menyebabkan anak-anak mereka mencari hiburan di luar dan bergaul dengan rakan-rakan yang tidak baik. Ibu dan bapa juga harus mengenali dengan siapa anak-anak mereka berkawan. Rakan-rakan mempunyai pengaruh yang kuat antara satu sama lain. Oleh itu, penting bagi semua ibu dan bapa untuk mengenali siapa kawan-kawan anak-anak anda dan ibu bapa mereka. Galakkan anak-anak remaja untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang sihat dan positif bersama rakan-rakan mereka. Perhatikan ke mana mereka pergi dan ekori mereka agar mereka selamat daripada aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Memberi wang belanja sekolah yang mencukupi dan menanamkan konsep menabung. Jika memberi wang belanja sekolah secara berlebihan, maka wang lebihan tadi akan digunakan untuk membeli rokok.

Tiada sokongan daripada masyarakat terhadap kempen anti-merokok. Masyarakat tidak prihatin terhadap remaja-remaja yang berpakaian sekolah merokok secara bebas di pusat membeli-belah. Mereka hanya memandang sebelah mata sahaja, seolah-olah mereka tidak melihatnya. Di manakah sifat masyarakat Malaysia yang penyayang?. Penjaja atau penjual rokok juga tidak prihatin, yang mana penjaja atau penjual rokok ini turut menjual kepada remaja di bawah umur. Mereka hanya memikirkan soal keuntungan sahaja, tanpa menghiraukan amaran oleh kerjaan yang meletakkan lable hanya untuk 18 tahun ke atas di kotak rokok. Isi kandungan rokok juga telah di mansuhkan, yang mana dahulunya terdapat kotak rokok yang mengandungi 7 batang dan 10 batang, tetapi kerajaan telah memansuhkannya menjadi 14 batang dan 20 batang. Hal kiranya dapatlah membendung gejala merokok dalam kalangan perokok, tetapi ternyata hasilya tidak kerana penularannya rokok seludup dan tiruan. Pada kebiasaannya perokok boleh membeli rokok sebatang sahaja di kedai-kedai runcit, ini menujukkan bahawa penjual rokok hanya mementingkan keuntungan sahaja daripada menyahut seruan kerajaan.

Kelemahan penguatkuasaan juga menjadi sebab mengapa kempen anti-merokok ini gagal. Penguatkuasaan yang kurang boleh menyebabkan penyeludupan rokok-rokok daripada negara lain berleluasa. Penjaja-penjaja rokok seludup semakin berleluasa di negara kita, namun tiada tindakan dilakukan daripada pihak berwajib. Pada kebiasaannya rokok seludup atau tiruan yang dijual lebih murah berbanding rokok tempatan. Malaysia seharusnya menguatkuasakan lagi penguasaan dan undang-undang agar matlamat kerajaan untuk negara sifar rokok dapat direalisasikan. Papan tanda denda RM 5, 000 sekiranya di dapati merokok premis-premis kerajaan tidak dilaksanakan dan hanya menjadi perhiasan sahaja. Sekiranya kerajaan benar-benar serius untuk membasmi perokok-perokok tegar, tindakan dan denda yang telah lama terkubur haruslah dilaksanakan agar perokok-perokok ini berhenti merokok.

Kesimpulannya, setelah banyak amaran, peringatan, nasihat, kempen dan bermacam-macam lagi aktiviti anti-merokok dijalankan, hasilnya tetap sama dan tidaklah membanggakan. Kempen anti-merokok yang telah menelan belanja beratus-ratus juta ringgit belum juga menampakkan sebarang perubahan yang nyata di kalangan perokok. Dalam hal ini, kempen anti-merokok dirasakan telah gagal. Pelbagai langkah-langkah yang lebih drastik perlulah dilakukan bagi menangani isu ini. Tanggungjawab ini bukanlah hanya terletak di bahu kerajaan sahaja, sebaliknya semua pihak harus berganding bahu bagi memastikan semula kempen anti-merokok berjaya dan individu perokok itu sendiri harus mempunyai kesedaran dan mempunyai kemahuan untuk berhenti merokok.

Comments :

0 comments to “KEMPEN ANTI-MEROKOK SUATU REALITI ATAU MITOS”

Post a Comment