LAGI-LAGI BULI



Oleh : ADZMAN ADES

Terlalu banyak masalah yang dikaitkan dengan sekolah hari ini. Dari isu yang remeh temeh sehinggalah yang melibatkan ibu bapa dan nyawa pelajar. Apa yang dapat dilihat gejala buli semakin menjadi-jadi di sekolah. Perkara ini semakin membimbangkan khususnya para guru, pelajar-pelajar dan ibu bapa. Kejadian buli ini sering kali melibatkan sekolah-sekolah berasrama penuh. Hampir semua pelajar yang pernah belajar di sekolah berasrama penuh mengetahui wujudnya buli, walaupun hanya segelintir yang menjadi mangsa atau pembuli. Gejala buli ini sering kali dilakukan oleh pelajar-pelajar senior keatas pelajar junior. Contohnya di asrama, buli ini dilakukan adalah sebagai satu cara untuk menambahkan keyakinan hidup di asrama. Buli bolehlah dimaksudkan sebagai tingkah laku agresif di mana seorang pelajar atau satu kumpulan pelajar mengganggu seorang mangsa secara fizikal atau psikologi bagi satu jangka masa yang panjang.

Pada masa dahulu gejala buli ini tidaklah pada tahap yang membimbangkan ini kerana disekolah guru-guru dianggap sebagai individu yang mempunyai kuasa untuk menghukum pelajar-pelajar yang melanggar peratuaran sekolah. Dengan adanya kuasa seperti itu guru-guru dapat membentuk sahsia dan keperibadian pejalar. Ibu bapa juga akur dengan hukuman yang diberikan kepada anak mereka sekiranya anak mereka membuat kesalahan. Pada masa dahulu ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak mereka. Ibu bapa sentiasa menjalankan tanggungjawab mereka untuk membentuk keperibadian anak mereka. Namun apa yang dapat kita lihat pada masa ini ibu bapa seolah-oleh mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mendidik anak mereka, ada diantara ibu bapa marah apabila anak-anak mereka dihukum oleh guru-guru. Ini membuatkan pelajar-pelajar semakin angkuh dan bongkak mereka tidak takut lagi dengan hukuman-hukuman yang diberikan kepada mereka.

Apa yang kita dapat lihat hukuman merotan hanya boleh dilakukan oleh guru disiplin sahaja. Kuasa menghukum juga sangat terbatas di tambah pula dengan respon Kementerian Pelajaran Malaysia yang sering melebih-lebihkan pelajar dan ibu bapa berbanding dengan guru. Sepatutnya, kuasa guru dikembalikan semula dengan sokongan oleh pihak kementerian. Keadaan ini tidak akan ada penghujugnya selagi pihak kerajaan dan kementerian tidak melakukan sesuatu untuk membendung gejala buli ini. Kita tidak mahu gejala buli ini menjadi semakin teruk. Kita lihat sahaja insiden yang berlaku di Amerika Syarikat di mana tembakan rambang kerap berlaku di sekolah. Salah satunya insiden Columbian High School pada akhir 1990-an yang mana insiden ini telah membunuh 12 orang pelajar dan seorang guru.

Adalah penting untuk kita ingat bahawa buli, konflik verbal, sentuhan fizikal dan yang berhubung dengan tindakan agresif masih menjadi bentuk yang biasa dalam masyarakat. Di Malaysia orang yang paling menonjol kajiannya tentang buli ialah Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub, dari Universiti Pendidikan Sultan Idris. Satu tinjauan telah dibuat oleh webPemuda menerusi “Poll” yang mana “Sikap Lepas Tangan Ibu Bapa” ” sebagai punca utama kejadian gejala samseng dan buli di sekolah. Dalam “Poll Survey” yang dilakukan 53.79 peratus telah memilih “Sikap Lepas Tangan Ibu Bapa” sebagai punca manakala hanya 11.87 peratus sahaja yang memilih “Pengaruh Media”. Pada jun 2005 satu kes buli yang melibatkan pelajar Sekolah Menengah Agama Padang Tengku, Kuala Lipis Pahang, pelajar tersebut telah lumpuh ia dipercayai akibat dipijak belakangnya dengan kasut polis kadet serta dihentak badannya ke almari oleh pelajar tingkatan lima dan tiga. Ini merupakan kes serius yang dilaporkan dan membuka mata ramai pihak agar masalah ini perlu dipantau dan diatasi segera. Pada 15 mei 2009 satu buku panduan telah diterbitkan untuk menangani gejala buli ini. Ketua penulis buku berkenaan, Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub berkata buku manual tersebut dihasilkan dengan kerjasama dan sokongan padu daripada pelbagai pihak. Di samping itu juga talian hot line juga telah diwujudkan di bawah kementerian pelajaran dan melihat bahawa gejala buli ini sangat serius.

Gejala buli ini telah membuka luas mata masyarakat agar ia dapat dibendung kita tidak mahu gejala buli ini merosakkan masa depan Negara kita kerana anak muda merupakan tunggak harapan Negara. Apa sahaja yang kita lakukan hari ini, baik sebagai guru, ibu, bapa, masyarakat, pemimpin, media dan sesiapa sahaja akan memberi impak yang besar bagi pembentukan generasi akan dating.

Comments :

0 comments to “LAGI-LAGI BULI”

Post a Comment