RISIKO PEROKOK PASIF



Oleh : Mohd Hanafi Bin Jumrah

Penulis terkesima sebentar apabila melihat kepulan-kepulan asap berwarna putih menyelubungi ruang udara sebuah pusat membeli-belah terkemuka di Sabah. Kepulan asap tadi menghasilkan satu aroma yang busuk daripada hembusan sekumpulan remaja berumur lingkungan 16 tahun. Lalu membuatkan penulis hampir tidak dapat bernafas, namum bagi mereka kepulan asap itu sudah sinonim dengan mereka. Pada sudut yang lain penulis terpandang sekumpulan perokok pasif bersama beberapa orang perokok aktif. “Kami dah biasa kawan dengan mereka, kami tidak kisah dengan asap rokok ini” kata salah seorang remaja dari kumpulan tersebut. Persoalannya di sini apakah mereka tidak mengetahui akibat yang bakal menimpa mereka daripada menjadi perokok pasif?

Penulis terkenang kepada nasib seorang pakcik penulis, di peramah dan baik orangnya, penulis memanggil beliau ialah pakcik Man. Dia merupakan seorang perokok pasif yang mana sekarang ini menderita akibat didiagnosis menghidap kanser paru-paru pada tahap keempat. Dahulu, pakcik Man berkawan dengan kumpulan perokok aktif yang kerap merokok. Pakcik Man tidak pernah memikirkan kesan atau akibat yang bakal diterimanya daripada menghidu asap rokok. Akhirnya, pakcik Man menderita dan penyakitnya itu merebak dari hari ke hari ke kawasan pankreas dan terkena tulang yang mengakibatkan sakit sewaktu berjalan. Keadaan pakcik Man amat memilukan hati penulis, namun dia tenang menghadapi segala ujian tuhan. Setiap bulan pakcik Man perlu menjalani kemoterapi untuk merawat penyakit tersebut. Pesan pakcik Man kepada penulis supaya janganlah bergaul dengan perokok aktif, kerana perokok pasif juga akan menerima nasib seperti perokok aktif.

Secara umumnya, merokok merupakan penyakit global yang menular ibarat nanah yang semakin membusuk di negara kita, dengan implikasi yang amat serius bukan sahaja ke atas kesihatan perokok aktif itu sendiri tetapi dalam masa yang sama memberikan implikasi yang lebih buruk kepada perokok pasif. Muhammad Suhaimi Bin Mahmud dalam tulisan beliau iaitu Pandangan Sains Terhadap Rokok di dalam segmen rencana pilihan di dalam Majalah Pengasuh menyatakan bahawa 468 orang iaitu sebanyak 53 peratus orang yang meninggal dunia merupakan mereka yang tidak pernah merokok, berbanding daripada 187 orang iaitu sebanyak 21 peratus orang yang meninggal dunia merupakan mereka yang masih merokok dan144 orang iaitu sebanyak 16 peratus yang meninggal dunia merupakan bekas perokok. Jelaslah di sini bahawa perokok pasif mempunyai risiko yang lebih tinggi dan cepat untuk menghidap penyakit seperti kanser paru-paru, jantung, strok dan mati pucuk yang di bawa oleh tembakau berbanding dengan perokok aktif. Timbalan Pengarah, Jabatan Kesihatan Wilayah, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Sallehudin Abu Bakar menyatakan bahawa pada tahun 2000, sebanyak 25 peratus kematian disebabkan oleh kanser paru-paru, 25 peratus penyakit jantung koronari, 20 peratus strok, 15 peratus COPD (penyakit sekatan pulmonari) kronik dan 15 peratus lagi lain-lain punca. Dr. Hammond telah menyatakan bahawa barah adalah berpunca daripada merokok dan ia boleh juga terjadi kepada mereka yang terhidu asap rokok sekeliling atau menjadi seorang perokok pasif. Walaupun perokok pasif tidak menghisap rokok, namun apabila mereka bergaul dengan rakan atau kumpulan-kumpulan perokok pasif, asap rokok yang dihidu oleh perokok pasif akan menyebabkan pelbagai jenis penyakit yang datang daripada asap rokok. Hal ini kerana, rokok dan asap rokok mengandungi lebih kurang 4000 jenis bahan kimia beracun antaranya tar(bahan untuk membuat jalan raya), ammonia (bahan dalam pencuci lantai), karbon monoksida, arsenik (racun anai-anai) dan nikotin.

“Rokok mengandungi nikotin yang boleh melumpuhkan sistem saraf tengah, menghentikan proses pernafasan dan menyebabkan kematian jika anda mengambil 60 miligram (mg) nikotin sekali gus” memetik kata-kata Ketua amalan Farmasi, Kuliyah Farmasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Madya Dr. Mohamad Haniki Nik Mohamed. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa rokok sebagai ejen yang menghantar secepat dan sebanyak mungkin nikoti di dalam tubuh badan seorang perokok atau pun di dalam tubuh perokok pasif melalui asap rokok. Selain itu, rokok bukan sahaja boleh melumpuhkan sistem saraf tengah, tetapi rokok juga boleh mengurangkan keupayaan seseorang dalam menjalankan aktiviti-aktiviti berat seperti mendaki gunung, seseorang perokok pasif akan hilang keupayaan untuk bertahan lama apabila mendaki gunung dari segi pernafasan, ketahanan diri dan tenaga. Hal ini kerana, asap rokok yang dihidu itu akan masuk ke dalam saluran darah, kemudiannya asap itu dihantar ke jantung dan akan menyebabkan jantung tidak dapat mengepam secara normal lalu menyebabkan keupayaan seseorang itu menurun.

Oleh itu, terpulang kepada individu itu sendiri sama ada dia memilih untuk menjadi seorang perokok aktif, perokok pasif atau hidup indah tanpa rokok. Bagi mereka yang memilih untuk menjadi perokok aktif mahu pun pasif, mereka seolah-olah telah menempah tiket untuk kematian. Kita seharusnya menyayingi diri dan insan yang disayangi daripada rokok yang menjadi pembunuh dalam senyap dan memusnahkan hidup. Keputusan hanya ditangan anda, tepuk dada tanya selera, tanya hati jawablah sendiri.

Comments :

0 comments to “RISIKO PEROKOK PASIF”

Post a Comment