MAJIKAN PROFESIONAL, PEMBANTU RUMAH BERETIKA.



Oleh : Nur Hayati Safwanah Durahman

Masyarakat Malaysia kini terutamanya keluarga golongan pertengahan ke atas kebanyakannya memerlukan pembantu rumah dalam keluarga mereka. Kesibukan ibu bapa bekerja siang hari telah menjadikan pembantu rumah sebagai alternatif untuk menyelesaikan segala urusan di rumah termasuklah menjaga anak-anak. Bagi mendapatkan perkhidmatan pembantu rumah, kebanyakan ibu bapa akan mengambil pembantu rumah daripada agensi pembantu rumah asing yang telah disediakan di negara ini. Mereka akan merasa segan membebankan ibu bapa mereka untuk menjaga anak-anak mereka. Oleh itu, pembantu rumah asing lah yang akan menjadi fokus utama mereka. Lagipun amat sukar untuk mencari pembantu rumah warga Malaysia sendiri kerana pada masa kini pekerjaan pembantu rumah sudah tidak di pandang oleh masyarakat Malaysia kini. Biasanya panggilan ‘amah’ atau ‘kakak’ untuk pembantu rumah begitu sinonim dengan masyarakat golongan ini di Malaysia. Kenapa masyarakat Malaysia lebih gemar mengupah pembantu rumah warga asing terutamanya dari Indonesia? Inilah yang selalu menjadi persoalan di benak fikiran kita kan? Sebenarnya kita sendiri sudah tahu jawapannya. Sukar untuk mencari pembantu rumah warga Malaysia sekarang ini. Hal ini kerana ia berkaitan dengan gaji sebagai pembantu rumah yang dirasakan tidak memuaskan. Jadi, masyarakat Malaysia lebih cenderung untuk mencari pekerjaan yang memberikan gaji yang lebih tinggi.

Menyentuh tentang isu gaji sebagai pembantu rumah di Malaysia ini, kebanyakan majikan tidak memberikan gaji yang tinggi kerana menganggap kerja sebagai pembantu rumah tidaklah seberat yang disangka. Namun, tugas sebagai pembantu rumah boleh dianggap sebagai tanggungjawab yang berat. Menjaga anak, mengemas rumah, memasak, mencuci pakaian, dan sebagainya merupakan kerja yang penat. Jika terkena lagi keluarga tempat bekerja itu mempunyai ramai anak-anak kecil, tentu letih melayan kerenah mereka. kadangkala kerja yang pembantu rumah buat ini tidak tertanggung oleh badan mereka. oleh itu, hanya pekerja asing sahaja yang sanggup melakukan kerja ini di Malaysia. Masyarakat Malaysia sendiri tidak mahu menjadi pembantu rumah kerana merasakan gaji yang diberikan tidak akan berbaloi dengan apa yang akan mereka lakukan. Masyarakat Malaysia bersyukur kerana dengan adanya Agensi Pembantu Rumah Asing yang disediakan di negara ini. Agensi yang disediakan ini telah memudahkan masyarakat Malaysia dan tidak perlu bersusah-payah untuk mencari pembantu rumah lagi. Namun, sejak kebelakangan ini ramai pembantu rumah warga asing kurang berminat untuk datang ke Malaysia berikutan gaji yang diberikan rendah dan laporan media mengenai kes penderaan pembantu rumah warga asing di Malaysia seperti yang dibentangkan dalam persidangan Dewan Negara (11 Julai 2009- Kuala Lumpur, BERNAMA)

Baru-baru ini, media telah memaparkan tentang kes penderaan pembantu rumah di Malaysia yang melibatkan pembantu rumah warga Indonesia. Selepas kes Nirmala Bonat yang telah disimbah dengan air panas dan seterika oleh majikannya sehingga mencetuskan tunjuk perasaan anti Malaysia di Indonesia, muncul lagi kes kedua yang juga mendapat liputan luas oleh media iaitu kes Siti Hajar yang didera oleh majikannya serta tidak dibayar gaji sehingga tertunggak sebanyak hampir RM17,000. Malah, turut dikesali apabila Siti Hajar hanya diberi makan berlaukkan ‘babi’ sahaja dan tidak dibenarkan makan ayam, sayur dan daging. Sememangnya kita sebagai warga Malaysia mengesali apa yang telah terjadi terhadap Siti Hajar. Perkara seperti inilah yang akan menjadi buah mulut orang kerana ia melibatkan sifat-sifat kemanusiaan sejagat. Kes-kes seperti ini boleh membakar jiwa masyarakat apatah lagi ia mendapat liputan luas oleh pihak media. Ada yang berasa marah, kesal, sedih, dan ada juga yang baru mulai sedar akan sifat-sifat kemanusiaan yang sepatutnya kita pupuk dalam diri kita dengan adanya kes-kes seperti ini. Pelbagai persepsi diberikan oleh seluruh masyarakat mengenai kes-kes yang dikemukakan oleh media ini.

Namun begitu, sebenarnya kes penderaan pembantu rumah oleh majikan di Malaysia hanyalah kes minoriti sahaja seperti yang diperkatakan oleh Pengarah Lembaga Pengkajian Masalah Sosial Pekerja Indonesia, Khairuddin Harahap (myMetro). Terdapat juga kes keganasan pekerja asing terhadap majikannya seperti kes Hanni Seo yang dijatuhkan hukuman empat tahun lapan bulan penjara kerana mengaku bersalah cuba hendak membunuh bekas majikannya, Phang Kian Huang di Air Itam, Pulau Pinang. Namun, hukuman itu dianggap ringan setelah mahkamah dimaklumkan bahawa Hanni Seo bertindak demikian kerana tertekan dan merasa teraniaya akibat dizalimi oleh bekas majikannya itu. Sebenarnya kita tidak boleh meletakkan sepenuh kesalahan di bahu majikan-majikan sahaja kerana tidak semua majikan bersifat tidak berperikemanusiaan. Bukan sahaja terdapat kes penderaan pembantu rumah, malah terdapat juga kes-kes pembantu rumah yang tidak berdisiplin dan tidak memberikan komitmen terhadap pekerjaannya. Menurut Setiausaha parlimen kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk paduka Abdul Rahman Ibrahim, terdapat 25 aduan yang diterima melalui ‘hotline’ aduan di bilik gerakan ibu pejabat Jabatan Imigresen Malaysia sejak 21 Jun lepas. Sebanyak 21 aduan daripada 25 aduan tersebut mengenai pekerja asing yang menipu majikan, tiga aduan melaporkan majikan tidak membayar gaji dan satu aduan mengenai pembantu rumah yang melarikan diri daripada majikan. Menurutnya lagi, dari Januari 2008 sehingga Januari 2009 terdapat 4010 kes majikan yang telah di senarai hitamkan dan 19 agensi pekerja asing yang telah digantung lesen (11 Julai 2009-BERNAMA).

Merujuk kepada kes-kes penderaan pembantu rumah oleh majikan dan kes keganasan pekerja ini, kita akan tertanya-tanya mengapakah berlakunya perkara-perkara seperti ini? Terdapat banyak faktor yang menyebabkan kes seumpama ini berlaku. Namun, tidak semua faktor penyebab berlakunya penderaan hanya tertumpu pada majikan sahaja. Sebenarnya ia bergantung pada keadaan dan situasi di antara pembantu rumah dan majikannya. Menurut Dr. Fatimah Yusoff, Pensyarah Jabatan psikologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, antara faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya kes-kes ini ialah berkaitan dengan personaliti majikan dan juga sikap sesetengah pembantu rumah tersebut (Utusan Malaysia, 12 Feb 2000). Menurut beliau, sikap majikan yang tidak penyabar dan mempunyai masalah peribadi serta pembantu rumah yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan pekerjaan mereka boleh menyebabkan ketegangan di antara mereka. Sesetengah majikan sukar memahami pembantu rumah dan menganggap mereka boleh membuat apa sahaja kerja tanpa memikirkan bahawa tugas sebagai pembantu rumah tidaklah semudah yang disangka. Pembantu rumah juga memerlukan masa untuk beristirahat setelah penat bekerja. Maknanya, majikan perlu profesional dalam memberikan tugasan dan pembantu rumah pula mesti menerapkan etika dan kredibiliti yang baik ketika bekerja. Jika tidak, silap hari bulan berlakulah babak-babak penderaan sama ada dari segi fizikal atau mental.

Majikan juga boleh merasa terdera perasaannya apabila mempunyai pembantu rumah yang pandai memijak kepala dan ingkar dengan segala arahan. Pendek kata, kredibiliti seorang pembantu rumah dalam menjalankan tanggungjawab mereka di tahap yang tidak memuaskan sehingga majikan merasa tertekan dan tidak percaya dengan pembantu rumah mereka. Menurut Dr. Fatimah lagi, pembantu rumah yang kerap melakukan kesalahan ketika bekerja dan bersikap malas menimbulkan perasaan marah majikan. Jika berterusan boleh menyebabkan majikan ke tahap mendera jika ditambah lagi dengan masalah peribadi yang ditanggung majikan. Justeru, keserasian perlu ada di antara majikan dan pembantu rumah. Majikan mesti bersikap profesional, pekerja pula mesti ikhlas menjalankan kerja mereka dan bersedia melakukan tugasan sebagai pembantu rumah. Kes-kes pembantu rumah asing yang tidak menjalankan kerja dengan baik itu sebenarnya akibat daripada tidak berminat dengan bidang pekerjaan tersebut tetapi terpaksa melakukannya untuk mendapatkan wang atau kerana tidak mempunyai peluang pekerjaan lain. Ini mendesak mereka untuk menerima pekerjaan yang mereka langsung tidak minat dan bukan dalam bidang mereka. Sesetengah pekerja asing di Malaysia ini tidak berkesan, tidak cekap dan tidak bahagia kerana mereka tidak berada di tempat yang tepat. Pekerjaan mereka mungkin bukanlah pekerjaan yang mereka cintai. Sekiranya pekerja telah menemui bidang kerjaya yang tepat, ia akan mendapat kenikmatan dalam menyelesaikan tugas di bidang kerja mereka.

Justeru, ada yang menganggap kejadian seumpama ini di mana berlakunya penderaan pembantu rumah asing oleh majikan dan juga keganasan pekerja asing terhadap majikan di Malaysia hanyalah satu perlakuan jenayah biasa sahaja. Namun, jika diteliti dengan mendalam kes-kes seperti ini akan memberikan impak negatif di antara negara kita dan juga Indonesia. Kes-kes ini sedikit sebanyak menghilangkan rasa percaya di antara kedua-dua belah pihak. Malah boleh menjejaskan hubungan diplomatik atau hubungan internasional di antara kedua-dua negara ini. Selain itu, kes seperti ini juga boleh menimbulkan masalah kepercayaan dan keyakinan terhadap pengurusan pentadbiran negara serta sistem kehakiman kita. Banyak kes-kes yang dilaporkan tapi hanya sedikit yang dibicarakan dan selebihnya masih dalam siasatan. Kes-kes yang dilaporkan terlalu lama dalam siasatan. Seperti juga kes Nirmala Bonat di mana hukuman terhadap bekas majikannya sudah diputuskan tetapi masih belum dilaksanakan seperti dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusof di dalam sidang Dewan Negara Julai lalu (28 Ogos 2009, Utusan Malayia). Beliau telah memaklumkan bahawa bekas majikan Nirmala tersebut, Pek Hua, telah mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan. Kes ini masih belum selesai sedangkan ia sudah berlalu selama lebih kurang dua tahun. Sebenarnya, kes-kes seperti ini kita tidak boleh memandang ringan kerana ia melibatkan hubungan di antara dua negara. Banyak persepsi yang akan muncul dan boleh memburukkan nama negara masing-masing.

Oleh itu, kedua-dua negara harus memberikan kerjasama dalam membendung masalah-masalah ini. Jangan biarkan imej negara kita terjejas dan menyebabkan hubungan di antara negara kita dengan Indonesia tidak berjalan dengan baik. Salah satu langkah untuk mengatasi permasalahan ini ialah Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia, persatuan bukan kerajaan, pihak majikan dan pembantu rumah hendaklah meneliti setiap permasalahan yang berlaku ini dengan baik dan menyelesaikannya dengan cara yang betul tanpa melibatkan emosi dan prasangka buruk antara satu sama lain. begitu juga dengan pihak Indonesia. Selain itu, bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan menarik lebih ramai lagi pembantu rumah asing yang berkualiti ke Malaysia, Setiausaha Parlimen Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Paduka Abdul Rahman Ibrahim, berkata lagi bahawa rakyat Malaysia mesti sanggup membayar gaji yang lebih tinggi atau setanding dengan gaji yang ditawarkan di negara-negara lain dan membayar gaji tepat pada waktunya. Oleh yang demikian, rakyat Malaysia hendaklah mempertimbangkan perkara ini untuk mendapatkan pembantu rumah yang bermutu. Begitu juga dengan tugas pembantu rumah. Hendaklah melakukan tugasan dengan sepenuh keyakinan dan keikhlasan untuk meningkatkan mutu kerja. Paling penting sekali, hubungan di antara majikan dan pembantu rumah hendaklah harmonis dan menjalinkan kemesraan.

Comments :

1
IBNU AZIZ said...
on 

menarik... :)

Post a Comment